10 Langkah Untuk Memastikan Diri Daripada Dijangkiti:  Sentiasa mencuci tangan   ●   Elakkan mendampingi mereka yang sakit   ●   Berehat di rumah, jika kurang sihat   ●   Tutup hidung dan mulut semasa batuk dan bersin   ●   Elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut, kerana virus Influenza boleh merebak melalui permukaan yang tercemar   ●   Jauhkan diri daripada orang lain, jika sakit   ●   Amalkan cara hidup yang sihat (Jangan merokok - Dapatkan tidur yang mencukupi - Bersenam secara tetap/sentiasa aktif - Atasi stres - Banyakkan minum air - Amalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat)   ●   Tangguh perjalanan ke luar negeri, jika awda sakit   ●   Berjumpa doktor jika awda jatuh sakit   ●   Ikuti perkembangan maklumat Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa

Pemeriksaan suhu badan semua pelajar dan kakitangan sekolah terus dilaksanakan sebagai langkah untuk memantau serta menangani masalah Influenza A (H1N1).

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Jumlah kes baru jangkitan Influenza A (H1N1) terus dilaporkan dengan setiap hari mencatatkan kes baru jangkitan yang menyebabkan orang ramai turut menyatakan perasaan bimbang dan khuatir mengenai risiko jangkitan.

Namun mereka tidak seharusnya bersikap cemas dan panik tetapi harus meningkatkan kewaspadaan mereka dan mematuhi peraturan serta nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Ke arah usaha untuk menangani masalah berkenaan, semua pihak harus memainkan peranan aktif dalam memastikan peraturan dan nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dapat dipatuhi serta bersama-sama memikul tanggungjawab untuk melaksanakan peraturan yang dikeluarkan.

Sementara itu dalam usaha mengawal, memantau dan menangani secara berterusan Influenza A (H1N1) daripada merebak, pihak sekolah di seluruh negara diwajibkan memeriksa suhu badan semua pelajar dan penuntut sebelum mereka memasuki bilik darjah masing-masing.

Tinjauan Media Permata mendapati pihak sekolah terus melaksanakan inisiatif seperti yang diarahkan untuk memeriksa suhu badan semua pelajar dengan pelajar yang didapati sihat akan ditandakan dengan pelekat dan dibenarkan untuk memasuki bilik darjah masing-masing.

Tetapi mereka yang kurang sihat akan diasingkan di bilik pengasingan khas dan ibu bapa mereka akan dihubungi untuk diambil serta dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan berdekatan.

Di samping langkah pemeriksaan, Kementerian Pendidikan juga mengeluarkan surat pekeliling untuk memaklumkan kepada guru besar dan pengetua supaya menasihatkan ibu bapa apabila mendapati anak-anak mereka kurang sihat untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.

Langkah itu diambil bagi sama-sama menangani Influenza A (H1N1) dan sekolah juga diarahkan untuk menyediakan Hand Sanitizer , supaya guru dan murid serta penuntut sama-sama menjaga kesihatan termasuk mengambil perhatian terhadap kebersihan sekolah dan tandas. Pada masa sama Kementerian Kesihatan sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah yang melanda negara bukan saja menerusi pemantauan berterusan tetapi juga menerusi kegiatan penyebaran maklumat, taklimat serta risalah kepada agensi kerajaan dan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai perkembangan terbaru dan langkah untuk menangani masalah berkenaan daripada merebak tanpa kawalan.

Kementerian Kesihatan menekankan kepada semua orang untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap penyakit itu kerana Influenza A (H1N1) mudah berjangkit dan perkara itu boleh mengakibatkan ramai orang jatuh sakit yang akan menjejaskan kehidupan seharian orang ramai.

Kemungkinan juga berlakunya mutasi bagi virus Influenza A (H1N1) kepada virus yang lebih berbahaya serta masih belum terdapat vaksin bagi mencegah jangkitan Influenza A (H1N1).Kementerian Kesihatan juga terus menekankan kepada orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan dan bagi mereka yang baru kembali dari negara yang terjejas dalam tempoh tujuh hari dan mempunyai simptom penyakit supaya terus berjumpa doktor di pusat kesihatan yang berdekatan atau hospital.

Mereka juga disarankan supaya mengurangkan kegiatan sosial dan tempat yang sesak dalam masa tujuh hari termasuk, tempat keramaian, pusat membeli-belah, pasar, gerai, restoran, panggung wayang dan kolam renang.

Mereka juga diminta supaya sentiasa berwaspada dan mengambil maklum serta mengikuti langkah penjagaan yang ditekankan oleh Kementerian Kesihatan iaitu untuk kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air dan mengeringkan menggunakan tuala pakai buang atau alat pengering tangan, menggunakan tisu tangan pakai buang yang mengandungi alkohol atau gel pembasmi kuman yang boleh digunakan jika tiada kemudahan mencuci tangan, menutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dan buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah, mengelak daripada mendampingi orang yang mempunyai simptom influenza serta mengelakkan mengunjungi tempat yang sesak.

0 comments:

Post a Comment